Piala Agong Perlis vs Perak

Piala Agong Perlis vs Perak
Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia adalah ahli gabungan FAM

Monday 16 November 2015

Sejarah Penubuhan PBSMM

Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia atau ringkasnya PBSMM merupakan antara persatuan yang tertua di negara ini dan ia telah ditubuhkan pada 19hb April 1947. Pada asalnya Persatuan ini diberi nama Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung (PBSMS). Mesyuarat pertama penubuhan Persatuan ini telah diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur dan Yang Dipertua pertamanya ialah Dr. Abbas bin Haji Alias, Setiausaha Agung Kehormat, Encik Md Said Abdul Rahman dan Bendahari Kehormat, Encik Mahmud bin Jintan. Persatuan ini telah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Malaya pada tahun 1950 dengan nombor pendaftaran 889/50.
Selepas itu Persatuan ini dipimpin oleh beberapa orang tokoh negara diantaranya ialah, Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Mulia Raja Shahriman bin Raja A. Hamid, Tan Sri Abdul Jamil Rais, Yang Berbahagia Dato' Mahmood Ambak, Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Senu Abdul Rahman dan beberapa tokoh lain yang nama mereka terpahat dalam rekod persatuan ini.
Pada tahun 1989, nama Persatuan ini telah dipinda kepada Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia. Pada Ketika itu, Persatuan ini dibawah pimpinan Yang Berhormat Tan Sri Dato' Sabbaruddin Chik.
Aktiviti utama Persatuan ini ialah menganjurkan kejohanan Piala Emas Raja-Raja dan Piala Agong. Piala Emas Raja-Raja telah mula dipertandingkan pada tahun 1926 hingga 1946 yang dikendalikan oleh Malayan Agri-Horticultural Association (MAHA). Piala Emas Raja-Raja ini telah dihadiahkan oleh kebawah DYMM Sultan Perak, Al-Marhum Sultan Alang Iskandar Shah Kudusullah, Kebawah DYMM Sultan Selangor, Al-Marhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah Atikullah, Kebawah DYMM Sultan Pahang, Al-Marhum Sultan Abdullah dan Kebawah DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhammad.
Mulai daripada tahun 1947, kejohanan Piala Emas Raja-Raja ini telah dianjurkan oleh Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung. Aktiviti kedua Persatuan ini ialah menganjurkan Kejohanan Piala Agong yang telah dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong kepada Persekutuan Bolasepak Melayu Semenanjung untuk dijadikan rebutan pertandingan bolasepak antara pasukan Melayu Utara dan pasukan Melayu Selatan tiap-tiap tahun Perlawanan pertama telah dilangsungkan pada tahun 1962.
Pertandingan ini telah dihentikan pada tahun 1976 kerana kurang sambutan. Tetapi mulai tahun 1978 Piala Agong ini dijadikan rebutan antara pasukan-pasukan yang berjaya melayakkan diri ke Pertandingan Akhir Piala Emas Raja-Raja. Pada tahun berikut dan seterusnya Johan Piala Agong bertemu dengan Johan Piala Emas Raja-Raja hinggalah tahun 1984.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatudin Al-Mu'adzam Shah telah berkenan mengurniakan Piala Agong yang baru. Oleh yang demikian satu format telah diperkenalkan pada tahun 1985 dimana empat pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir dalam Pertandingan Piala Emas Raja-Raja adalah juga berhak memasuki Pesta Bolasepak Piala Agong hingga ke tahun 1988. Pada tahun 1989 format pertandingan ini diubah lagi seperti tahun 1978-1984 iaitu Johan Piala Agong bertemu dengan Johan Piala Emas Raja-Raja.https://www.facebook.com/PersatuanBolasepakMelayuMalaysia/






No comments:

Post a Comment